Pemergian Velappan dianggap satu kehilangan besar

Oleh Bernama 22 Oktober 2018 107
Pemergian Velappan dianggap satu kehilangan besar
Beberapa legenda bola sepak kebangsaan melahirkan rasa dukacita di atas pemergian bekas setiausaha agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan, kelmarin.

Bekas pemain kebangsaan dan pertahanan Selangor, Datuk Santokh Singh, yang memberi penghormatan kepada mendiang berkata ia adalah satu kehilangan besar kepada arena bola sepak tempatan. 

"Kehilangan besar kepada dunia bola sepak dan juga arena bola sepak Malaysia kerana beliau adalah seorang yang sangat baik yang benar-benar tahu tentang bola sepak," katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir di kediaman Velappan di Kampung Tunku, Petaling Jaya, hari ini. 

Rakan Santokh yang juga bekas pemain Selangor, Datuk Soh Chin Aun, turut berkongsi pandangan sama dan menikmati setiap detik di bawah kepimpinan mendiang sebagai pengurus skuad kebangsaan dan membimbing skuad itu sehingga layak ke Sukan Olimpik 1972 di Munich.

"Saya mengenali dia sejak kecil apabila saya bermain dalam Piala Burnley. Apabila saya menyertai pasukan kebangsaan untuk kali pertama, saya lebih mengenalinya dan sehingga hari ini, kami masih berkawan baik. 

"Beliau telah banyak berjasa kepada bola sepak bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.

"Apabila Malaysia layak ke Sukan Olimpik 1972 di Jerman, beliau menjadi pengurus pasukan dan saya rasa itu adalah detik yang paling manis," katanya. 

Sementara itu, ketua jurulatih PKNS FC, Datuk K.Rajagobal, berkata Vellapan telah membawa begitu banyak kesan positif dalam arena bola sepak kebangsaan melalui idea-idea unik.

Beliau juga berkata bahawa mendiang adalah seorang yang mesra dan mudah untuk didekati.

"Beliau telah memberi sumbangan besar kepada bola sepak dan semua orang mengiktiraf ketekunan dan semangat beliau. Ia adalah satu kehilangan besar dan saya fikir kita harus berbangga dengan apa yang beliau telah lakukan," katanya.

Beliau membawa begitu banyak idea, terutama memandangkan mendiang mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak.

Velappan, yang berusia 83 tahun, meninggalkan seorang isteri, Datin Pavalam, dan dua anak perempuan.

Berasal dari Siliau, Negeri Sembilan, bekas guru itu berkhidmat sebagai setiausaha agung AFC dari 1978 hingga 2007.

Beliau memainkan peranan penting mendapatkan hak untuk Korea Selatan dan Jepun menjadi tuan rumah Piala Dunia pada 2002, kali pertama acara sukan ulung dunia itu diadakan di Asia.

Beliau juga adalah setiausaha agung AFC yang paling lama menyandang jawatan itu dengan berkhidmat di bawah tiga presiden  – Tan Sri Hamzah Abu Samah (1978-1994) dan Sultan Ahmad Shah (1994-2002), kedua-duanya dari Malaysia, dan Mohamad Hammam dari Qatar.

Walaupun setelah bersara daripada AFC pada 2007, beliau masih aktif dalam dunia bola sepak, khususnya melalui Vision Asia untuk mempopularkan sukan itu di peringkat akar umbi di seluruh Asia.

-- BERNAMA
 

Tentang Penulis

Bernama

Komen