Santiago Solari menegaskan dia tidak gusar mengenai masa depannya bersama Real Madrid selaku pengurus selepas Jose Mourinho dipecat Manchester United dan dikaitkan untuk kembali ke Los Blancos.

United menamatkan khidmat Mourinho semalam susulan permulaan buruk musim ini tatkala The Red Devils ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu liga, Liverpool.

Aksi terakhir United dibimbing Mourinho menyaksikan mereka tewas 3-1 di tangan Liverpool tetapi status jawatannya sering menjadi perhatian tatkala hubungannya dengan pemain semakin buruk.

Pengendali dari Portugal itu dikaitkan untuk kembali membimbing Madrid -- pasukan yang dikendalikannya selama tiga tahun sehingga 2013 -- di penghujung musim ini walaupun Solari baru sahaja memegang jawatan itu secara tetap bulan lalu.

Namun, Solari tidak risau mengenai khabar angin tersebut sambil menyifatkan ia sebagai perkara lumrah apabila mengendalikan Madrid.

Bercakap dalam sidang media bagi perlawanan Piala Dunia Kelab menentang Kashima Antlers, Solari berkata: "Saya menghormati semua rakan sekerja saya, tidak kira profesional atau amatur, lebih-lebih lagi mereka yang memainkan peranan dalam pasukan yang memberikan keseronokan buat kelab.

"Bagaimana saya boleh risau tentang spekulasi mengenai Madrid? Ia berlaku setiap hari."

Pemecatan Mourinho turut dikaitkan dengan kejayaan yang diraih Pep Guardiola bersama Manchester City tatkala ia lebih menunjukkan kegagalan yang dilalui pengendali dari Portugal itu.

Namun, Solari tidak mahu meletakkan falsafah bola sepaknya berdasarkan mana-mana jurulatih.

"Saya mengenal pasti nilai yang mewakili Madrid," tambahnya.

"Ia harus menjadi pasukan yang mendominasi, sentiasa mencari kemenangan, menyerang dan mencatat jaringan serta tidak mengalah dalam apa jua situasi.

"Untuk mencapai sasaran itu, kami perlu bekerja keras dalam semua aspek teknikal serta fizikal. Kesimpulannya, saya rasa dinilai berdasarkan aksi bola sepak yang mewakili Real Madrid."