Pemain tengah Real Madrid, Federico Valverde, dijangka akan berehat panjang selepas kelab itu mengesahkan pemain berkenaan mengalami retak tulang kaki kanan.

Valverde diturunkan ketika Madrid tewas 1-4 kepada Valencia dalam perlawanan LaLiga awal pagi semalam sebelum digantikan dengan Toni Kroos pada minit ke-76.

Kenyataan perubatan yang dikeluarkan Madrid semalam tidak memberikan gambaran mengenai jangkaan ketua jurulatih, Zinedine Zidane, tentang tempoh pemulihan pemain itu.

Kenyataan itu berkata: "Susulan ujian yang dilakukan ke atas pemain kami, Federico Valverde, oleh pasukan perubatan Real Madrid, dia didapati mengalami retak tulang posterior tibial di kaki kanannya.

"Pemulihannya akan terus berada di bawah pemantauan."

Bagaimanapun, pemain kebangsaan Uruguay berusia 22 tahun itu akan terlepas peluang untuk mewakilii negaranya dalam pusingan kelayakan Piala Dunia bermula dengan menentang Colombia pada Jumaat ini sebelum berdepan Brazil empat hari kemudian.

Valverde melakukan 11 penampilan bersama Madrid dalam kesemua kejohanan musim ini dan menghasilkan tiga gol.

Madrid seterusnya akan bertandang ke laman Villarreal bagi perlawanan LaLiga pada 21 November ini.