"Untuk bermain di tahap antarabangsa, saya memerlukan pemain yang boleh menyesuaikan diri dengan segera."

Demikian kata pengendali skuad B-18 negara, Bojan Hodak, yang perlu membentuk skuad mantap sebelum menghadapi Kejohanan AFF B-19 di Vietnam, Ogos depan.

Hodak percaya dia mampu membentuk skuad berkualiti selepas memilih 32 pemain berdasarkan prestasi semasa.

Dia turut menjelaskan bahawa pemilihan pemainnya itu adalah berdasarkan cadangan daripada barisan kejurulatihan.

Dengan itu, dia yakin pasukannya mampu untuk tampil dengan kualiti pemain berbeza dengan kehadiran 10 muka baru yang melaporkan diri dalam latihan pusat yang bermula kelmarin.

"Apabila mereka menyertai bidang bola sepak profesional, mereka akan mengalami fasa peralihan daripada remaja ke dewasa.

"Sebahagian daripada mereka dapat menyesuaikan diri dengan segera dan sebahagian lagi tidak.

"Saya memerlukan mereka untuk segera menyesuaikan diri kerana di peringkat antarabangsa, ia lebih mencabar dengan permainan yang lebih pantas dan kuat.

"Mereka tidak akan memperoleh banyak ruang, jadi mereka perlu berfikir dengan pantas.

"Kami akan menerapkannya dalam sesi latihan dan perlawanan persahabatan untuk melihat pemain mana yang dapat menyesuaikan diri," katanya.

Dalam pada itu, skuad kendalian Hodak itu akan menghadapi aksi pemanas badan menentang pasukan Liga Perdana, Selangor United dan PDRM, serta pasukan daripada Liga Super, Kuala Lumpur, sebagai persiapan menjelang kejohanan di Vietnam itu.

"Kami perlu berdepan pemain senior kerana kami memerlukan perlawanan yang sukar.

"Ia mungkin dengan berdepan pasukan utama atau pasukan simpanan daripada Liga Super dan Liga Perdana.

"Apabila pemain B-16 beraksi untuk skuad B-19, ia merupakan permulaan untuk ke fasa pemain senior, jadi mereka perlu mempelajarinya," tambahnya.