Hilang aksi kompetitif dalam saingan Liga Malaysia membabitkan pemain utama skuad B-19 negara menjadi punca kesukaran untuk mencari momentum sebenar sehingga diikat seri 1-1 oleh Timor Leste dalam Kejohanan AFF, kata ketua jurulatih, Bojan Hodak.

Kegusaran itu telah disuarakan Hodak sejak hari pertama kem latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sebelum ini.

Keputusan seri 1-1 dengan Timor Leste semalam menjadi bukti kepada pendapat itu, ditambah dengan masalah kecergasan dan ketumpulan di depan gawang walaupun hakikatnya mereka mendominasi permainan di Gelora Joko Samudro.

"Sebelum ini saya pernah menjelaskan kami memiliki satu masalah apabila hadir ke kejohanan ini. Ramai pemain yang berlatih dengan skuad utama tetapi tidak banyak mendapat peluang beraksi.

"Ia boleh dilihat mereka tidak mempamerkan aksi sebenar. Mereka perlu bermain dengan lebih kerap bersama kelab atau akan berdepan masalah apabila bersama skuad kebangsaan," kata Hodak.

Keputusan itu menafikan peluang Malaysia untuk mengisi slot ke separuh akhir lebih awal dan mereka perlu mencatat kemenangan menentang Myanmar esok bagi mengelak pertemuan dengan tuan rumah, Indonesia, dalam separuh akhir.

"Aksi ini menjadi bukti bahawa amat berbeza apabila anda berlatih dan anda beraksi. Dalam babak pertama, beberapa pemain dilihat bergelut untuk bermain dengan baik."

Sementara itu, tonggak utama negara, Akhyar Rashid, berdepan kemungkinan tidak dapat beraksi dalam aksi penting esok ekoran kecederaan.

Bagaimanapun, Akhyar masih berharap dia mampu berjuang bersama rakan sepasukan selepas melalui pemeriksaan perubatan untuk mengetahui keadaan sebenar kecederaannya.

"Saya terjatuh dan mengalami kesakitan pada bahagian tangan.

"Tentunya saya sedih kerana sebelum ini kami meraih kemenangan dan perasaan itu dapat dirasakan sangat berbeza apabila seri," ujar Akhyar.