Pemain Malaysia gagal jalankan tugas dengan baik

Oleh Penulis Jemputan 17 November 2018 1890
Pemain Malaysia gagal jalankan tugas dengan baik
Pemain pertahanan Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abdul Radzak, mengakui kesilapan benteng membawa padah hingga tewas 0-2 kepada Vietnam dalam aksi Kumpulan A, Piala Suzuki AFF 2018, malam tadi.

Malaysia berkunjung ke Hanoi dengan misi untuk mengekalkan rentak kemenangan setelah menundukkan Kemboja serta Laos sebelum ini.

Bagaimanapun, hasrat membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian apabila gawang yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat dibolosi dua kali oleh lawan yang juga pasukan pillihan dalam kumpulan.

Aidil berpandangan kelonggaran di bahagian pertahanan tidak seharusnya berulang sambil menjangkakan lawan mereka selepas ini, Myanmar, juga mempunyai kemampuan yang sama seperti Vietnam.

"Apabila kami dibolosi dua gol, ia bermakna kami tidak menjalankan tugas dengan baik. Pemain-pemain mencuba sedaya-upaya untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata tetapi gagal," katanya.

Skuad negara pulang ke tanah air hari ini dengan pengendali, Tan Cheng Hoe, memberikan tempoh rehat selama dua hari.

Sesi latihan dan persiapan menjelang pertemuan dengan Myanmar akan disambung semula Isnin ini.

Aidil turut enggan memikirkan pertemuan di antara Myanmar dan Vietnam, di mana wujud peluang buat Myanmar untuk menyukarkan peluang Malaysia ke suku akhir andai memperoleh kemenangan.

"Kami tidak mahu memikirkan sama ada Vietnam atau Myanmar akan menyukarkan Malaysia untuk ke peringkat seterusnya kerana saya rasa kami akan menjalankan tugas bagi mendapatkan kemenangan dalam aksi terakhir."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen