Pemain Madrid terdesak ubah nasib -- Solari

Oleh Penulis Jemputan 31 Oktober 2018 1093
Pemain Madrid terdesak ubah nasib -- Solari
Skuad Real Madrid terdesak untuk mengubah nasib pasukan susulan prestasi buruk di bawah kendalian bekas ketua jurulatih, Julen Lopetegui, kata pengendali sementara Los Blancos, Santi Solari.

Madrid mengalami kekalahan keempat dalam lima perlawanan LaLiga sewaktu tunduk 5-1 di tangan Barcelona dalam pertemuan El Clasico, Ahad lalu, yang menyaksikan pemecatan Lopetegui hasil daripada keputusan itu.

Bekas pengurus Sepanyol itu dipecat sehari kemudian dan ketua jurulatih Real Madrid Castilla, Solari, mengambil-alih pasukan sehingga pengganti ditemui.

Solari, yang merupakan bekas pemain tengah Los Blancos, memenangi dua gelaran liga serta satu trofi Liga Juara-Juara Eropah bagi musim 2001/02 ketika bergelar pemain selama lima tahun di Santiago Bernabeu, memulakan sesi latihan pertama semalam dan dia berkata seluruh pasukan mahu kembali ke landasan kemenangan.

"Mereka terluka tetapi mahu mengubah situasi yang berlaku," kata Solari.

"Ini adalah kelompok juara, kumpulan pemain yang bekerja keras dan telah memenangi banyak kejuaraan bersama kelab.

"Ia adalah satu detik sukar tetapi waktu sebegini bakal menyaksikan perwatakan sebenar anda muncul."

Pengurus berusia 42 tahun itu tidak menjangkakan dia bakal memegang jawatan itu dalam tempoh lama tatkala Antonio Conte dilaporkan menjadi calon utama tetapi Solari berharap dapat menggunakan kesempatan untuk membuktikan kemampuannya.

"Saya akan cuba segala yang saya mampu. Ia adalah peluang keemasan bersama pasukan hebat," tambah Solari.

"Saya tidak hanya bercakap selaku jurulatih skuad utama tetapi saya berada bersama kelab dalam pelbagai perkara. Saya beraksi dan bermandi peluh demi pasukan ini.

"Madrid lebih besar daripada kami semua dan saya hanya mahu menjadi sebahagian daripadanya."

Solari akan melalui perlawanan pertamanya awal pagi esok apabila turun menentang Melilla dalam saingan Cope Del Rey dan dia hanya meletakkan satu sasaran, mahu menang dan melangkah ke pusingan 16.

"Perancangannya adalah menuju ke Melilla dan bermain dengan penuh keinginan dan kebanggan. Saya mahu melihat pasukan memberikan segalanya. Saya berada di sini untuk memenangi perlawanan bola sepak, mudah."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen