ATLETICO MADRID 1 ALAVES 0

Diego Simeone memuji impak yang diberikan pemain gantiannya selepas Atletico Madrid terpaksa berhempas-pulas untuk meraih kemenangan 1-0 ke atas Alaves di Stadium Wanda Metropolitano, awal pagi tadi.


Fernando Torres masuk dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol tunggal itu dalam aksi yang mengecewakan bagi Atleti selepas turut terlepas beberapa peluang.

Penampilan Angel Correa dalam babak kedua menyaksikan tuan rumah lebih banyak menyerang dan jaringan hadir dalam tempoh lima minit selepas pengenalan Torres dan Yannick Carrasco.

"Pasukan bertambah baik dengan pertukaran itu," kata Simeone. "Adalah penting untuk mempunyai kumpulan seperti itu. Pemain yang tidak bermain (tidak berada dalam kesebelasan utama) telah melakukannya dengan baik dan telah membuktikannya.

"Kami mempunyai ruang untuk melakukan peningkatan. Kami mahu ia bertambah baik sebagai satu pasukan. Ketepikan apa yang telah berlaku.

"Kami gembira dengan skuad kerana ia penting. Kami kini berusaha untuk perlawanan di depan, yang akan sukar seperti hari ini."

Keputusan itu mengangkat Atleti ke tangga kedua mengatasi Valencia, namun Simeone tidak dibuai dengan tanggapan sesetengah pihak mengatakan skuadnya adalah pesaing gelaran.

"Mereka yang melihat kami sebagai calon gelaran adalah pihak sama yang menafikannya tujuh minggu lalu," katanya.

"Kami tidak teruja mereka bercakap tentang kami, dan kami juga tidak sedih apabila mereka melakukan kesilapan."

Sementara itu, Torres juga mengakui sukar untuk memastikan keputusan yang melebarkan kemenangan Atleti yang ke-20 dalam liga, sambil menambah: "Kami berjalan lancar dan kami mahu meneruskannya."