Luis Enrique memberi amaran kepada pemainnya bahawa mereka tidak mempamerkan watak selaku pencabar kejuaraan LaLiga musim ini selepas mencatat keputusan seri 1-1 berdepan Real Madrid dalam pertembungan El Clasico di Nou Camp.

Barca ketinggalan enam mata di belakang Real Madrid menuju ke pertembungan pada Sabtu, namun dilihat mampu merapatkan jurang dengan kemenangan menerusi jaringan Luis Suarez pada awal babak kedua.

Lionel Messi dan Neymar mensia-siakan peluang menggandakan jaringan sebelum Sergio Ramos menghukum The Catalans menerusi gol penyamaan pada minit ke-90.

Pengendali Barca, Enrique, jelas tidak berpuas hati dengan kegagalan kelab itu untuk mengutip tiga mata di laman sendiri dan menegaskan mereka tidak boleh melakukan kesilapan jika mahu menewaskan skuad kendalian Zinedine Zidane.

"Pada babak kedua, pemain saya lebih mudah untuk membuat hantaran," Enrique memberitahu wartawan ketika sesi sidang media.

"Kami mengawal permainan; kami tidak terkesan dengan sebarang serangan balas oleh Real Madrid.

"Kami mendapat dua peluang keemasan menerusi Leo Messi dan Neymar, namun dalam soal bola sepak, keadilan tidak pernah wujud.

"Apa sekalipun, kami sepatutnya meledak gol kedua perlawanan. Pada minit akhir, Real yang berjaya menemukan jawapan.

"Kami perlu memperbaiki aksi, terutamanya di laman sendiri, kerana kami masih jauh daripada sasaran sebenar.

"Ketika ini, kami perlu memenangi kesemua baki perlawanan jika mahu mengatasi Real Madrid.

"Pemain perlu bermain sehingga tiupan wisel penamat dibunyikan. Jika perlawanan ini berakhir pada minit ke-89, sudah tentu tiga mata menjadi milik kami."