Niko Kovac mengakui terdapat ruang yang perlu diperbaiki Bayern Munich tetapi memberikan amaran bahawa barisan pemainnya bukan 'mesin'.

Bayern memenangi empat perlawanan berturut-turut sejak gagal melakukannya dalam empat perlawanan sebelum ini hingga mencetus spekulasi masa Kovac di Allianz Arena sudah tiba ke penghujung.

Aksi Bundesliga berdepan Freiburg malam ini bakal menyaksikan penyandang juara itu kembali menghuni tangga teratas dengan memintas Borussia Dortmund.

Ketika Bayern kelihatan semakin hampir berada pada tahap terbaik mereka, Kovac enggan dibuai dengan prestasi semasa sementara menyedari cabaran yang perlu dihadapinya.

"Kami mampu bermain dengan lebih baik. Jaringan menentukan keputusan perlawanan," katanya.

"Jika gagal melakukannya, keadaan akan menjadi sukar. Menyerang lebih sukar berbanding bertahan. Anda perlu lebih bersabar ketika melakukannya.

"Kami mampu melakar kemenangan apabila bekerja keras untuk mendapatkannya. Anda tidak selalu dapat melakukan sesuatu yang ajaib.

"Perkara paling penting buat kami adalah kembali mencipta kemenangan.

"Juara dunia dan pemenang Liga Juara-Juara (UCL) bukan mesin. Bukan setiap masa mereka mampu bermain pada tahap yang sama," ujarnya.