Luis Suarez tampil mempertahankan pemain Barcelona dan menjelaskan mereka terlebih dahulu mahu menerima potongan gaji.

Awal minggu ini, pemain Barca menerima pemotongan gaji sebanyak 70 peratus susulan wabak coronavirus.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Isnin lalu, bintang Barcelona, Lionel Messi, menuding jari ke arah golongan senior dalam kelab yang meletakkan pemain dalam tekanan apabila bercakap mengenai apa yang perlu dilakukan.

Suarez berkata pemain terkesan dengan laporan yang menyatakan mereka tidak bersetuju untuk menerima pemotongan gaji.

"Banyak perkara yang perit diperkatakan tentang pemotongan gaji skuad," katanya.

"Orang ramai berkata pemain tidak mahu menerimanya, kemudian muncul laporan terdapat pemain lain yang mencapai persetujuan tetapi realitinya, kami menunggu peluang untuk mencuba membantu kelab."

"Menyakitkan apabila orang ramai berkata begitu kerana kami sentiasa mahu mencapai persetujuan memandangkan kami faham situasi yang dihadapi kelab.

"Tiada pemain dalam skuad yang menolak pemotongan gaji. Perjanjian telah dicapai di antara pemain dan kelab. Kapten telah berbincang dengan presiden dan tiada yang menolak."

Lebih 52,900 nyawa telah terkorban di seluruh dunia akibat coronavirus dan lebih 10,300 daripadanya dari Sepanyol.