Peluang untuk balas dendam -- Shahrul

Oleh Staff Writer 23 November 2018 1071
Peluang untuk balas dendam -- Shahrul
Pertahanan kebangsaan, Shahrul Saad, menyifatkan pertemuan menentang Myanmar esok sebagai peluang terbaik untuk menebus kekalahan dua tahun lalu apabila kedua-dua pasukan sekali lagi berentap dalam aksi penentu peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF 2018.

Kekalahan 0-1 skuad negara kepada Myanmar dalam aksi terakhir peringkat kumpulan dalam edisi 2016 di Yangon masih berbekas di hati Shahrul.

Masuk sebagai pemain gantian, Shahrul dan rakan seperjuangan tersungkur di minit akhir perlawanan apabila tuan rumah meraih jaringan kemenangan, sekali gus menyaksikan skuad negara tersingkir.

Kini, dia enggan episod sama berulang apabila bertemu lawan yang sama di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.

"Ketika 2016, ia satu perlawanan yang sangat menyedihkan kerana mereka dapat menewaskan kami. Saya berharap kami mampu menghadirkan kemenangan esok.

"Kami harus layak ke separuh akhir. Itu yang paling penting," kata Shahrul.

Pertahanan Perak itu sekali lagi dijangka bergandingan dengan Aidil Zafuan Abdul Radzak untuk mengemudi benteng akhir skuad negara berdepan Myanmar.

Barisan pertahanan negara sememangnya perlu berwaspada dengan jentera serangan lawan yang diketuai penyerang berbisa yang beraksi dalam Liga Satu Thailand, Aung Thu.

"Ada beberapa pemain yang sudah kami lihat cara permainan mereka. Memang ramai pemain yang memiliki pengalaman dan tonggak muda yang telah meningkat. Ia boleh dilihat dalam beberapa perlawanan sebelum ini di mana mereka menjaringkan gol," tambah Shahrul.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen