SAMPDORIA 2 INTER 1

Antonio Conte berasakan Inter semakin sukar merealisasikan cita-cita mereka menjulang Scudetto berikutan tumbang 1-2 di Sampdoria.


Alexis Sanchez gagal menyudahkan sepakan penalti dalam babak pertama sebelum giliran Antonio Candreva menyempurnakannya buat tuan rumah di Stadio Luigi Ferraris, awal pagi tadi.

Keita Balde menggandakan kelebihan Sampdoria pada minit ke-38 dan biarpun Stefan de Vrij cuba merapatkan jurang sementara Romelu Lukaku -- kurang cergas -- terpaksa dimasukkan, Inter masih lagi gagal bangkit.

Keputusan itu menghancurkan rekod 11 perlawanan tanpa kalah anak buah Conte dan dia menolak untuk terlalu keras terhadap pemainnya di sebalik kelekaan dalan babak pertama hingga menyebabkan mereka dihukum.

"Kami gagal dalam sepakan penalti dan akhirnya kami pula dihukum oleh sepakan penalti. Gerakan 1-2 Sampdoria jelas menimbulkan beberapa kesulitan buat kami," katanya kepada wartawan.

"Pada masa yang sama, kami beraksi dengan baik, dalam beberapa minit pertama mereka mencipta deretan peluang. Kadang-kadang anda tewas dalam perlawanan yang sepatutnya anda kalah, ada masanya terdapat situasi di mana anda boleh menjaringkan gol tetapi tumpul."

Walaupun terlepas peluang sementara Lautaro Martinez bergelut, Conte menolak untuk menyalahkan kecergasan Lukaku yang baru pulih daripada kekejangan paha atas kegagalan mereka.




"Ini bukan pertama kalinya kami beraksi tanpa Romelu, kami sedar dia memiliki kualiti tertentu tetapi dia tidak berada dalam keadaan 100 peratus dan anda boleh melihatnya ketika dia dimasukkan," katanya.

"Maaf kerana saya rasa kami layak mendapat sesuatu yang lebih."

Christian Eriksen juga diperkenalkan dari bangku simpanan walaupun diberitahu dia boleh meninggalkan Inter bulan ini.

"Saya sering berusaha mengeksploitasi pemain saya berdasaran situasi dan saya sentiasa bersedia dengan sebarang keputusan kelab," jelasnya lagi.

"Saya hanya menjalankan tugas sebagaimana yang sering saya lakukan sejak berada di Inter, tetapi setiap keputusan akan selalu dikongsi bersama."

Inter akan kembali beraksi dalam pertembungan menarik apabila bertemu pasukan di tangga ketiga, Roma, Ahad ini.