Pemain Ghana, Thomas Abbey, berpeluang menunjukkan kemampuan kepada majikan barunya, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC dalam perlawanan persahabatan menentang UiTM di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam esok.

Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, berharap Abbey, 25 menggunakan peluang beraksi itu untuk memperagakan keistimewaannya kepada rakan sepasukan.

"Setiap orang pasti mahu lihat kemampuan pemain itu.

"Mungkin terlalu awal untuk menilai kemampuannya tetapi kita boleh tahu sama ada seorang pemain itu bagus atau tidak," katanya.

Awang import pertama bagi memperkukuhkan pasukan itu dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim 2019 itu tiba di Ipoh empat hari lalu.

Pemain yang dikatakan boleh beraksi di pelbagai posisi itu kali terakhir beraksi untuk Kelab Mesir, Ismaily Sporting Club, dan adalah pemain pasukan kebangsaan negara itu.

Abbey, yang berada dalam skuad yang muncul juara Piala Negara-Negara Afrika pada 2016, tampil dengan reputasi selaku pemenang anugerah 'pemain bola sepak lelaki terbaik' Ghana 2018.

Abbey juga adalah pemain ketiga dari Ghana selepas Abukari Damba dan Baba Iddi menyarung jersi Perak dalam kancah Liga Malaysia.

Pengendali PKNP FC itu menambah dia juga sedang menanti dua calon awang import yang akan tiba dalam tempih terdekat.

"Saya tidak mahu dedah identiti mereka sehingga sudah tiba dan sah menjadi milik kami kerana tidak mahu dipancing pasukan lain," katanya.