Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John, mengambil pendekatan tunggu dan lihat apabila masih belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung pelesenan kelab daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ia selepas AFC sebelum ini mengesahkan tarikh untuk FAM menamakan pasukan yang akan bersaing di peringkat Asia dilanjutkan sehingga 30 November ini berikutan masih ada negara yang belum menamatkan sepenuhnya saingan liga domestik mereka.

Pahang dikatakan pasukan yang enggan melengkapkan proses pelesenan berkenaan dan mengulas mengenai perkara itu, Windsor berkata kepada Nadi Arena: "Kami belum menerima sebarang maklumat sama ada mana-mana pasukan telah gagal atau berjaya, jadi agak sukar untuk saya memberikan komen.

"Kami belum menerima laporan daripada FAM berhubung mana-mana pasukan yang sudah berjaya dan pasukan mana yang masih belum menyelesaikan sepenuhnya (proses) atau mana-mana pasukan yang tidak mahu langsung.

"Maklumat itu kami masih belum dapat daripada FAM, jadi kami perlu tunggu laporan itu sebelum boleh memberikan komen.

"Sebab dalam perkara ini, mereka masih boleh berjaya (melengkapkan proses) pada minit akhir kerana proses itu masih berjalan.

"Kami masih berlum mendapatkan sebarang laporan terperinci daripada FAM," katanya.

Sementara itu, Windsor tidak melihat sebarang kelakuan tidak sepatutnya melibatkan enam pasukan yang menghantar usul untuk tiada sebarang penyingkiran bagi liga musim ini.

Menurutnya, sebagai ahli gabungan, perkara itu adalah normal dan pihak penganjur, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), dan badan induk, FAM, perlu meneliti permintaan atau cadangan berkenaan.

"Saya belum mendengar atau melihat petisyen itu tetapi selaku persatuan bola sepak negeri yang bermain dalam Liga Malaysia, mereka juga adalah ahli gabungan FAM.

"Jadi jika ada apa-apa cadangan atau permintaan, kita perlu faham bahawa perkara-perkara ini perlu melalui saluran-saluran tertentu supaya satu keputusan dapat diambil.

"Sama ada petisyen itu betul atau salah, kami masih tidak tahu kerana ia berlaku di peringkat domestik yang hanya boleh diselesaikan oleh MFL dan FAM kerana ia melibatkan ahli gabungan mereka di peringkat domestik.

"Tetapi segala keputusan yang bakal diambil, biasanya ia demi kebaikan bola sepak," katanya.