Pedro melengkapkan perpindahannya ke AS Roma dengan mengikat kontrak selama tiga tahun bersama pasukan Serie A itu.

Bekas pemain sayap Barcelona itu menamatkan temnpoh lima tahunnya bersama Chelsea selepas kontraknya tamat pada penghujung musim lalu.

Pemain berusia 33 tahun itu memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA dan Liga Europa sepanjang berada di Stamford Bridge dan menjadi pemain pertama ditandatangani Roma menjelang musim baru Serie A, yang akan bermula 19 September ini.

"Saya gembira untuk berada di sini bersama Roma," kata Pedro.

"Saya tgeruja untuk berdepan cabaran ini dan bersaing untuk mencapai sasaran kami dalam musim yang akan bermula ini.

"Saya mahu berterima kasih kepada penyokong kerana mengalu-alukan kedatangan saya.

"Saya berharap dapat menggembirakan mereka," katanya.

Produk Akademi Remaja La Masia milik Barcelona itu memenangi dua gelaran 'treble' bersama skuad Blaugrana berkenaan -- menjaringkan gol dalam final Liga Juara-Juara Eropah sewaktu Barca dibawah kendalian Pep Guardiola pada 2011 sebelum menjadi pemain sokongan kepada jentera serangan yang dibarisi Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar dalam musim 2014-15.

Dengan melakukan 65 penampilan bersama skuad kebangsaan Sepanyol, Pedro merupakan sebahagian daripada pasukan yang memenangi Piala Dunia 2010 dan Euro 2012, di mana dia menjaringkan 17 gol sepanjang mewakili negaranya.

Dia menambah: "Terutama apabila anda tiba di kelab baru, anda mahu kembali memenangi sesuatu.

"Saya faham ia sesuatu yang sukar tetapi itulah sasarannya.

"Impian saya sentiasa amat tinggi dan apabila saya tiba di sini, impian saya adalah untuk, bersama kesemua staf, saya mahu memenangi sesuatu bersama Roma.

"Tidak mustahil untuk kami memenangi trofi. Saya faham ia satu cabaran yang besar buat semua yang berada di sini dan buat pasukan ini," katanya lagi.