Terengganu FC (TFC) III memilih pendekatan perbincangan dengan pihak pengurusan sebelum menentukan status pemain susulan pembatalan aksi Piala Presiden musim ini.

Ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali, berkata Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan memanggil mereka untuk satu pertemuan dalam masa terdekat.

Sebarang keputusan mengenai penamatan kontrak atau sebaliknya menurut Badrul hanya akan diketahui sebaik menerima pandangan masing-masing.

Bekas pemain Terengganu itu juga mengakui ada cadangan daripada barisan pemain dan jurulatih yang akan diketengahkan kepada PBSNT dalam perbincangan itu.

"Isu kontrak masih tidak dapat dipastikan lagi dan kami masih menunggu saranan PBSNT dalam masa terdekat.

"Saya merancang mempersiapkan pasukan sama menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) tapi untuk kembali berlatih turut bergantung kepada perjumpaan itu nanti.

"Begitu juga dengan arahan pembayaran minimum 25 peratus jumlah baki kontrak yang turut akan dibincangkan," jelas Badrul.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Isnin mengesahkan pembatalan tiga kejohanan iaitu Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL).

Selepas mengharungi empat perlawanan sehingga Mac lalu, juara Piala Presiden edisi 2018, TFC III, mengetuai Kumpulan A Zon Utara dengan tiga kemenangan dan satu seri.

"Sudah tentu ianya satu keputusan yang mengecewakan buat penggiat bola sepak di peringkat akar umbi.

"Namun, kami terpaksa akur dengan pembatalan ini demi keselamatan dan kesihatan semua," tambahnya.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC) III