Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) digesa mengkaji kesan menghantar hanya satu pasukan dalam saingan Liga Super, musim depan.

Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Daerah Kuala Terengganu (PBDKT), Mohamad Sekanther Abdul Hamid, langkah itu bakal memberi kesan bukan sahaja kepada skuad utama, malah kepada skuad pembangunan akar umbi.

Selaku pengurus skuad Piala Presiden T-Team, Sekanther berkata peluang kepada pemain muda negeri ini semakin mengecil dengan hanya satu pasukan dibenarkan beraksi.

Situasi semakin rumit dengan kontrak majoriti pemain Piala Presiden T-Team musim ini masih berbaki sehingga 2019.

“Kami tidak dimaklumkan langsung mengenai situasi ini. Difahamkan, PBSNT dan kerajaan negeri hanya mahu satu pasukan utama sehingga skuad Piala Presiden dan Piala Belia.

“Sekarang kita perlu mengambil kira ke mana hala tuju pemain-pemain Piala Presiden T-Team,” ujarnya.

Sejak dibimbing Rahmad Darmawan, T-Team berjaya mengetengahkan pemain, antaranya Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris, Muhd Azalinullah Alias, Arif Fadzillah Abu Bakar, Abdullah Suleiman, Muhd Aqil Irfanuddin dan Safawi Rasid.

Ketiadaan T-Team dalam Liga Super 2018 dikhuatiri menutup terus peluang buat anak negeri itu mengutip pengalaman di peringkat tertinggi.

Justeru, Sekanther mengharapkan satu keputusan dibuat dalam masa terdekat bagi meleraikan kemelut serta melancarkan persediaan musim baharu secepat mungkin.