Dimitri Payet menyambut baik "berita memberangsangkan" mengenai keputusan pengurus Marseille, Andre Villas-Boas, yang bersetuju untuk terus memimpin pasukan gergasi Ligue 1 itu dalam Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.

Bekas pengendali Chelsea dan Tottenham itu semakin kerap dikaitkan akan meninggalkan kelab berkenaan dalam beberapa bulan terakhir.

Bagaimanapun, Marseille mengesahkan pengurus Portugis itu telah menandatangani kontrak baru pada minggu ini.

Berikutan kempen Ligue 1 2019-20 yang ditamatkan lebih awal berikutan wabak COVID-19, Marseille -- yang menduduki tangga kedua -- akan beraksi dalam kejohanan kelab elit Eropah itu di bawah asuhan Villas-Boas.

Bagi Payet, yang menyumbangkan sembilan gol dan empat bantuan jaringan dalam 22 perlawanan liga musim ini, menyifatkan pengumuman itu sebagai alasan untuk meraikan sesuatu.

"(Villas-Boas) mempunyai sokongan penuh di dalam bilik persalinan," kata pemain tengah itu kepada Journal de l'ile de La Reunion.

"Setahun yang lalu, hanya segelintir yang melihat bahawa kami mampu meraih tangga kedua berdasarkan skuad yang begitu kecil. Dia melakukan apa sahaja untuk meraih keputusan bagi mencapai matlamat ini.

"Ia juga berita baik buat saya kerana kami telah menempuhi musim yang baik. Dia gemar dengan penguasaan bola dan saya suka permainan yang menarik."



Payet sedar spekulasi mengenai masa depan Villas-Boas sekalipun menganggap Marseille sudah terbiasa dengan kisah-kisah seperti itu.

"Pengurusan dalam aspek kejurulatihan kebelakangan ini menunjukkan kami telah berkembang daripada segi krisis pengurusan," tambah pemain berusia 33 tahun itu.

"Apapun, kami berjaya mengadakan perbincangan demi mendapatkan jalan penyelesaiannya secara bersama-bersama, 'dapat mencuci pakaian kotor kami di samping keluarga'.

"Di sebalik semua berita yang berkumandang dalam beberapa hari terakhir lalu, dia tetap bersama kami. Dia ingin meneruskan pengembaraan ini. Inilah perkara paling penting hari ini.

"Apabila kami mengatakan bahawa Marseille adalah sebuah keluarga, ia bukan sekadar kata-kata. Kami benar-benar bersatu tanpa mendengar pendapat dari luar. Kami bersatu hati demi kelab ini."