Bintang Marseille, Dimitri Payet, mengejek Paris Saint-Germain (PSG) menerusi media sosial selepas mereka tewas kepada Bayern Munich dalam aksi final Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Dalam penampilan final pertama mereka di pentas elit Eropah, juara Ligue 1 itu tewas 1-0, dengan bekas pemain sayap PSG, Kingsley Coman, menanduk gol kemenangan dalam separuh masa kedua di Lisbon.

Musuh tradisi PSG, Marseille, merupakan satu-satunya kelab Perancis yang menjuarai kejohanan itu, menjulangnya pada 1993, dua tahun selepas mereka melangkah ke final buat kali pertama.

Payet segera mengingatkan kepada pengikutnya, dengan memuat naik video menerusi twitter yang menunjukkan jersi PSG yang dilengkap bintang di atas logo pasukan, sebelum mendedahkan bintang itu merupakan milik jersi Marseille. (bintang di atas logo membuktikan sesebuah kelab itu telah melakar kejuaraan di pentas Eropah)

Video peminat Marseille yang meraikan kekalahan PSG setelah wisel penamat juga penuh di media sosial, dengan mereka bergembira di sebalik pelaburan besar PSG masih gagal memastikan trofi UCL sehingga hari ini.