Paulinho berkata kesempatan bermain di samping Lionel Messi dan Neymar adalah satu keistimewaan, namun bintang Barcelona itu kekal sebagai pemain terbaik dunia di kaca matanya.

Bekas perancang kelab Guangzhou Evergrande itu menganggap peluang berhijrah ke Camp Nou memberinya peluang untuk beraksi dengan Messi.

Paulinho menganggap darjat penyerang Argentina itu lebih tinggi biarpun mengiktiraf rakan senegaranya di Brazil yang kini bersama Paris Saint-Germain (PSG), Neymar, mempunyai kualiti menjadi pemain terbaik dunia suatu hari nanti.

"Saya berkesempatan bergandingan dengan Neymar di peringkat kebangsaan," kata Paulinho dalam sidang akhbar menjelang aksi Barcelona dengan Olympiacos dalam Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi esok.

"Ketika ini, saya bermain di samping Messi. Dia pemain yang berbeza daripada yang lain, dia adalah pemain terbaik di dunia.

"Apabila seseorang bermain di samping pemain terhebat di dunia, anda hanya perlu melaksanakan tugas untuk menjadikan dia hebat dan memastikan bola sampai kepadanya secepat dan sekerap mungkin.

"Messi banyak membantu saya. Neymar dan Messi adalah pemain yang sangat hebat. Saya hanya boleh bercakap mengenai keistimewaan dapat bergandingan dengan kedua-duanya.

"Tugas saya di sini ialah membantu Messi terus kekal sebagai pemain terbaik dunia. Dengan Neymar, anda tidak tahu apa yang akan terjadi kepadanya keesokan harinya, atau tiga tahun dari sekarang.

"Dia mungkin menjadi pemain terbaik dunia."

Paulinho yang meledak dua gol dalam aksi LaLiga sejak menyertai Barcelona, bagaimanapun, mengakui peralihan dari Liga Super China ke salah satu kelab terhebat Eropah bukannya mudah.

"Saya akui pada awalnya cukup sukar untuk menyesuaikan diri dengan ciri bola sepak khusus yang dijangkakan di Barca," menurutnya lagi.

"Terima kasih kepada sokongan dan bantuan yang diterima daripada rakan sepasukan. Kini saya sudah yakin, tenang dan memastikan peranan saya dalam falsafah permainan mereka.

"Ketika saya tiba, saya sedar sesetengah orang meragui saya. Mereka langsung tidak yakin. Tetapi, seperti yang saya katakan sebelum ini, ia tidak mengganggu saya.

"Saya mahu mempamerkan kemampuan kepada rakan sepasukan di sini kerana merekalah yang mahu saya berada di sini.

"Saya hanya perlu melaksanakan tugas -- saya tenang. Saya menghormati pandangan orang lain, namun saya bercita-cita besar. Bagi saya, perkara utama adalah membantu rakan sepasukan memenangi gelaran dan perlawanan," katanya.