Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mewajibkan kesemua pasukan dalam Liga Malaysia 2020 untuk membuat akuan bersumpah 15 Disember ini dengan mengisytiharkan sebarang hutang yang masih belum diselesaikan musim ini dan pelan untuk menyelesaikannya.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, berkata akuan bersumpah berkenaan bagi memastikan mereka tidak membawa hutang-hutang lama, termasuk tunggakan gaji pemain dan tunggakan hutang dengan agensi kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), ke musim depan.

"Kami meminta kesemua pasukan untuk membuat akuan bersumpah bukan bertujuan untuk menghukum pasukan berkenaan tapi bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang hutang tertunggak dan (mempunyai) pelan untuk mengatasi masalah tunggakan berkenaan.

"Harus diingat, semua pasukan harus bertanggungjawab terhadap segala hutang mereka dan harus bijak mencari jalan untuk menyelesaikan hutang-hutang mereka supaya tidak membawa hutang berkenaan ke musim depan," katanya.

Mengulas lanjut, Stuart memaklumkan kesemua pasukan perlu jujur dan tidak menyembunyikan sebarang hutang tertunggak ketika membuat akuan bersumpah berkenaan atau akan berdepan tindakan tegas FAM, termasuk lesen ditarik balik oleh First Instance Body Pelesenan Kelab badan induk itu pada bila-bila masa.

Stuart mendedahkan kesemua pasukan sudah mendapat lesen kebangsaan daripada First Instance Body Pelesenan Kelab FAM bagi membolehkan mereka beraksi dalam Liga-M 2020 kecuali Kelantan dan Sarawak, yang diberi lesen kebangsaan dengan bersyarat setelah gagal memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan mana-mana pemain untuk terus berjumpa dengan wakil FAM sekiranya ada pasukan yang diwakili mereka masih gagal menyelesaikan tunggakan gaji musim ini.

"Sekiranya wakil pasukan tidak ada ketika akuan bersumpah pada 15 Disember ini, saya meminta pemain yang terlibat untuk tampil membuat aduan kepada FAM supaya tindakan lanjut boleh diambil.

"Tindakan seperti ini bukanlah perkara baru kerana ia merupakan peraturan yang sudah lama termaktub dalam FAM," tegasnya.

Sebagai rekod, FAM mengarahkan pentadbir Liga-M, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), memotong tiga mata pasukan Kelantan dalam Liga Perdana 2019 pada April lalu setelah Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) gagal mengikut arahan dan tempoh masa yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk menjelaskan tuntutan rasmi daripada bekas Pengarah Teknikal KAFA, Alfredo Carlos Gonzalez.

Pada 6 Mac lalu, FIFA menghantar keputusan jawatankuasa tatatertibnya supaya KAFA membayar tuntutan daripada Gonzalez, denda FIFA dan kos prosiding yang keseluruhannya berjumlah kira-kira RM235,686 dalam tempoh 30 hari, namun KAFA dilaporkan gagal melunaskan denda berkenaan.