Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, meminta semua pasukan bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M) memanfaatkan bakat pelatih generasi pertama Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Menurutnya, pelatih AMD mempunyai potensi cemerlang dan peluang beraksi dalam kancah Liga-M dapat memberi impak positif terhadap kelangsungan pembangunan prestasi pelatih yang akhirnya memberi faedah kepada pasukan kebangsaan.

Jelasnya lagi, setiap pasukan yang berhasrat mendapatkan khidmat pelatih tersebut perlu bertanggungjawab memberikan pendedahan sebaik-baiknya di peringkat profesional.

"Sekarang ini kita mahu semua kelab ambil mereka. Tolong ambil mereka dan tempatkan mereka (dalam pasukan).

"Mereka merupakan pemain yang bagus, melatih mereka dengan sebaik mungkin supaya akhirnya mereka dapat mewakili Malaysia," kata Syed Saddiq.

NFDP, yang dilancarkan pada 2014 dengan tujuan melahirkan pemain bertaraf dunia, kini mempunyai lebih 25,000 pelatih seawal usia 12 tahun yang menjalani latihan di pusat NFDP di seluruh negara, termasuk lebih 200 pelatih elit berpangkalan di AMD, Gambang.

Media tempatan sebelum ini melaporkan seramai 34 pelatih generasi pertama AMD telah disunting beberapa kelab gergasi tanah air, antaranya Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor dan Kedah selain turut terdapat tawaran dari kelab di Jepun.

Penyerang sensasi skuad B-18 negara, Luqman Hakim Shamsuddin, yang merupakan antara 34 pelatih generasi pertama AMD, menjadi pemain Malaysia yang pertama ditawarkan kontrak beraksi bersama kelab Liga Profesional Belgium, KV Kortrijk.

Sementara itu, mengulas mengenai pampasan kepada AMD sekiranya pelatih mereka diberikan tawaran beraksi bersama mana-mana pasukan, Syed Saddiq berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu NFDP sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Ia adalah isu dasar dan perlu dibincangkan terlebih dahulu bersama Jawatankuasa Pemandu NFDP. Tetapi kalau boleh, kita tidak mahu letak banyak rintangan kepada pasukan yang ingin mendapatkan khidmat pelatih ini,” katanya.

-- BERNAMA