Pasukan Liga M boleh lakukan penjimatan

Oleh Staff Writer 2 Januari 2020 252
Pasukan Liga M boleh lakukan penjimatan
Majoriti pasukan dalam saingan Liga Malaysia boleh melakukan penjimatan besar dalam soal pengurusan kewangan jika tidak terlalu bergantung 100 peratus kepada khidmat ejen dalam mendapatkan pemain import.

Perkara itu didedahkan jurulatih berpengalaman, Ismail Zakaria, yang menceritakan pengalamannya ketika berjaya memburu beberapa pemain import berkualiti seperti Patrick Ronaldinho Wleh, Karlo Primorac dan Dilshod Sharofetdinov ketika bersama Sime Darby dari 2010 hingga 2015.

Menurut Ismail, beliau sentiasa melakukan pemantauan sendiri dengan melihat secara langsung pemain-pemain yang ditandatangani, malah beliau turut melakukan penyelidikan mendalam mengenai soal pemberian gaji.

Beliau bersetuju ini boleh menjadi modul terbaik kepada mana-mana pasukan jika mahu mengawal perbelanjaan seiring dengan pelaksanaan 'Economic Control Programme' (ECP) yang bermula musim depan.

"Jurulatih harus berperanan untuk berusaha menilai pemain-pemain sendiri. Bukan menolak tugas ejen, namun mereka harus bijak mengelak daripada membuat keputusan yang salah," katanya.

Bukannya mahu menidakkan peranan ejen selain tidak menafikan ada antara mereka yang bersikap jujur, Ismail mengakui cara itu paling bersesuaian jika mereka tidak mahu terperangkap dengan risiko gagal mendapatkan pemain yang mereka mahukan selain selalunya 'hanya indah khabar daripada rupa'.

Apa yang mustahak, Ismail menyeru jurulatih atau pengurusan setiap pasukan jangan membuat keputusan di saat-saat akhir serta tidak tergesa-gesa dalam menandatangani mana-mana pemain import.

"Pasukan juga harus berhemah ketika membuat pembelian pemain. Perkara yang harus menjadi keutamaan adalah pemain import berkualiti dan tidak memerlukan kos yang tinggi sementara sesuai dengan corak permainan di Malaysia."



Editor: Ammar Hakim

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen