Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais, menganggap nyawa pemain, khususnya buat pasukan dari Borneo, akan terancam seandainya Liga Malaysia (Liga-M) musim ini diteruskan sekalipun tanpa kehadiran penyokong.

Saingan Liga-M musim ini mencetus polemik apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) masih belum mengeluarkan sebarang ketetapan yang jelas berhubung perjalanan liga yang terhenti berikutan pandemik Covid-19.

Bagi Posa, keselamatan dan kesihatan pemain pasukannya akan sentiasa diletakkan sebagai keutamaan.

"Bagi saya, selagi keadaan ini masih belum pulih, selagi itulah risikonya masih tinggi.

"Bagi pemain dari Sarawak dan Sabah, apabila perlawanan di gelanggang lawan, kami perlu menaiki pesawat dan menaiki bas untuk ke lapangan terbang.

"Jadi, pada ketika itulah risikonya amat tinggi.

"Cadangan kami buat pihak FAM adalah supaya liga dibatalkan sahaja," katanya.

Nada sama dikongsikan pengurus pasukan Sabah, Henry Simpon, dengan berkata: "Ia memang akan mendatangkan masalah buat kami. Salah satunya, stadium akan suram tanpa kehadiran penyokong.

"Ia juga akan menjejaskan semua pasukan kerana tiada hasil yang akan diperoleh daripada penjualan tiket.

"Jalan penyelesaian terbaik adalah dengan membatalkan liga musim ini," katanya.