Pasukan amatur lega Liga M3 dibatalkan

Oleh Bernama 9 Jun 2020 527
Pasukan amatur lega Liga M3 dibatalkan
Keputusan Liga Bolasepak Amatur (AFL) membatalkan saingan Liga M3 musim ini susulan penularan pandemik Covid-19 dilihat tepat pada masanya memandangkan beberapa pasukan amatur berdepan kekangan kewangan ketika ini.

Keadaan itu diakui pengurus kelab Klasiko FC, Khairil Anuar, yang bimbang sekiranya saingan liga amatur itu diteruskan, beberapa pasukan bakal menarik diri kerana bergelut dengan peruntukan pasukan selain pihak penaja sendiri berdepan masalah sama susulan pandemik berkenaan.

“Boleh dikatakan agak lega apabila AFL mengumumkan pembatalan Liga M3 kerana pihak penaja Klasiko FC juga terjejas dengan wabak Covid-19 kerana mereka rata-rata ada perniagaan sendiri, jadi sudah pasti kewangan juga akan terjejas.

Oleh itu, saya berasakan pembatalan liga ini paling sesuai untuk pasukan seperti kami dan selepas ini kami akan mempunyai banyak masa untuk membuat perancangan dan mencari penaja tambahan bagi musim depan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini.

Mengenai kontrak dan gaji pemain susulan pembatalan liga, Khairil menjelaskan barisan pemain Klasiko FC tidak dibayar gaji bulanan, sebaliknya diberi elaun perlawanan sahaja kerana kebanyakan pemain bekerja tetap, sekali gus mengurangkan beban kewangan yang dialami pasukan berkenaan dalam menghadapi musim depan.

“Untuk musim depan, kita tengok dulu sejauh mana kewangan yang kami ada kerana saya sebenarnya lebih selesa menggunakan peruntukan yang minimum untuk pasukan agar kami dapat bertahan bagi jangka panjang dan pemain juga sangat memahami berkenaan kewangan pasukan ketika ini,” kata Khairil lagi.

Jurulatih Kuala Terengganu Rovers (KT Rovers), Mohd Azhari Salim, turut bersetuju dengan pembatalan saingan itu, terutama bagi mematuhi garis panduan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) demi membendung penularan Covid-19.

"Saya memang bersetuju dengan langkah ini memandangkan wabak Covid-19 masih belum berakhir dan bola sepak berada dalam sukan dikategorikan ada kontak rapat semasa bermain. 

"Malah, jika kita bermula pada September nanti pun, tidak banyak perlawanan diadakan memandangkan aksi hanya seminggu sekali yang dijangka berakhir pada Disember depan,” katanya.

Dia memaklumkan pihak pengurusan akan mengadakan perbincangan dengan beberapa pemain import mereka susulan pembatalan saingan Liga M3.

"Mengenai isu kontrak, kami tidak ada masalah besar bagi pemain tempatan kerana semuanya dibayar mengikut elaun, cuma untuk pemain import, kami akan adakan perbincangan secara mendalam dengan mereka tentang pembayaran baki kontrak," katanya lagi.

Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, dalam kenyataan semalam, memaklumkan AFL mengambil keputusan membatalkan saingan Liga M3 musim ini susulan penularan pandemik berkenaan.

Pembatalan itu dikatakan kerana AFL bimbang pasukan terlibat gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh KKM dan MKN berhubung aktiviti sukan di padang terbuka.

-- BERNAMA

*Kredit foto: Klasiko FC

Tentang Penulis

Bernama

Komen