Carlos Tevez akan kekal beraksi bersama Shanghai Shenhua dalam Liga Super China selepas ejennya menafikan laporan mengenai perpindahannya ke kelab Brazil, Palmeiras.

Tevez -- dilaporkan memperoleh gaji mingguan £615,000 (RM3.44 juta) -- kerap dikritik berhubung persembahan dan kecergasannya sejak menyertai Shenhua dari Boca Juniors pada Disember lalu, sehingga membawa kepada spekulasi penghijrahannya.

Bekas pemain Manchester United dan Juventus yang berusia 33 tahun itu hanya menjaringkan tiga gol dalam 13 perlawanan untuk Shenhua, yang melepaskan jurulatih, Gus Poyet, bulan lalu.

Tetapi Tevez tidak akan kembali ke Amerika Selatan melalui Palmeiras, menurut ejennya, Adrian Ruocco.

"Tiada apa-apa (dengan Palmeiras), semuanya palsu," kata Ruocco kepada GloboEsporte.com.

"Tiada seorang pun daripada Palmeiras yang bercakap dengan saya. Tevez akan kekal tinggal di China."

Diejek oleh penyokongnya sendiri, Tevez tidak bermain sejak Shenhua dimalukan 6-1 oleh seteru setempat, Shanghai SIPG, pada 16 September lalu.

Shenhua kini telah melepasi tiga perlawanan tanpa kalah, menang dua kali, termasuk kemenangan 1-0 di Shanghai Shenxin dalam Piala FA, Jumaat lalu.