Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) membuat kejutan apabila menolak tawaran untuk menyertai kejohanan Piala AFC 2018, sekali gus bakal menyaksikan Malaysia kehilangan satu slot dalam kejohanan berprestij itu musim depan.

PBNP menerusi kenyataan media hari ini memutuskan tidak menyertai saingan Piala AFC kerana ingin memberi sepenuh tumpuan terhadap saingan Liga Malaysia 2018.

Dalam kenyataan itu, PBNP mengesahkan pihak mereka menerima tawaran untuk menyertai kejohanan itu melalui surat daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertarikh 9 November lalu.

Bagaimanapun, PBNP memberi reaksi balas berhubung perkara itu lima hari kemudian.

Berdasarkan situasi itu, slot itu sepatutnya menjadi milik Felda United, namun The Fighters masih gagal mendapat lesen FAM, dan mungkin ia akan diberikan kepada pasukan Perak atau Selangor.

Tetapi, Malaysia akan kehilangan slot berkenaan sekiranya FAM sudah mencalonkan Pahang sebagai pengganti kepada Kedah untuk beraksi dalam kejohanan itu dan Pahang menolak tawaran itu.

"Jika sesebuah kelab tidak mahu mengambil bahagian dalam pertandingan Piala AFC walaupun layak daripada segi pelesenan, maka slot kepunyaan kelab itu akan diberikan kepada negara lain," kata Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul.

Pahang dikatakan menggantikan Kedah beraksi dalam kejohanan itu musim depan susulan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) gagal melepasi syarat pelesenan yang ditetapkan AFC.

FAM, dalam kenyataan bersama Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), mengesahkan keputusan itu dibuat selepas KFA gagal mengemukakan penyata kewangan
beraudit.