'Mood' persiapan naib juara Liga Super 2017, Pahang, untuk memulakan musim baru Liga Malaysia tampak terencat susulan dikenakan hukuman oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi larangan memohon lesen kelab Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selama dua tahun.

Hukuman itu diumumkan FAM hari ini hasil daripada mesyuarat kali keempat jawatankuasa itu semalam.

Menurut satu kenyataan FAM, Pahang didapati melanggar Artikel 14, Peraturan FAM kerana ingkar arahan badan induk itu selepas enggan atau gagal mendaftarkan pasukan dalam Piala AFC musim depan.

Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) juga diberi amaran keras dan hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama. Bagaimanapun, FAM masih memberi peluang kepada persatuan itu untuk membuat rayuan.

Larangan membabitkan permohonan tahun depan dan 2019 sekali gus menyaksikan skuad Tok Gajah tidak akan mewakili negara ke Liga Juara-Juara Asia 2019 dan 2020.

"Persatuan Bolasepak Pahang dilarang daripada memohon lesen kelab AFC selama dua tahun pada 2018 dan 2019 bagi menyertai 'Pertandingan Kelab AFC' tahun 2019 dan 2020.

"Amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu," kata kenyataan itu.

Untuk rekod, Pahang dipilih mewakili Malaysia dalam Piala AFC musim depan bagi menggantikan Kedah, namun PBNP menolak tawaran itu dengan alasan mahu fokus kepada saingan domestik.

Selain Pahang, Perak turut dikenakan hukuman oleh jawatankuasa itu. Ia bagi kesalahan kelakuan penonton dan penganjuran separuh akhir pertama Piala Malaysia di antara Perak dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak, 15 Oktober lalu.

Didenda sebanyak RM35,000 membabitkan tiga pertuduhan, skuad The Bos Gaurus juga terpaksa bermain dua perlawanan tanpa penonton di gelanggang sendiri.