Seorang pemain berpotensi dari Vietnam berada dalam radar Perak bagi mengisi satu lagi kuota pemain import pasukan The Bos Gaurus itu dalam kempen Liga Malaysia 2020.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Ahmad Faizal Azumu, berkata Perak berminat dengan aksi pemain-pemain Vietnam ketika beraksi dalam Sukan SEA Filipina yang berakhir malam tadi.

Katanya, hasrat itu sudah dimaklumkan kepada ketua jurulatih pasukan, Mehmet Durakovic, untuk memilih pemain dari negara tersebut.

"Kita tengah tinjau-tinjau (pemain import). Vietnam ini bagus juga pemain dia bila menang sukan SEA, maknanya boleh tahan juga.

"Saya dah bercakap dengan Mehmet supaya pergi tengok. (memilih) pemain bukan kerja saya. Itu kerja Mehmetlah," katanya kepada pemberita selepas hadir dalam Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Tualang Sekah di Tapak Projek Rumah Perakku hari ini.

Sementara itu, mengenai pengambilan pemain import baru, Guilherme De Paula, yang dikatakan akan menjadi pemain naturaliasi, Ahmad Faizal menjelaskan pemain tersebut mengisi kuota import dan bukan pemain tempatan.

Katanya, tempoh bermain De Paula dalam Liga Malaysia belum cukup untuk menjadi pemain naturalisasi.