Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memberi jaminan keadaan padang Stadium Nasional, Bukit Jalil akan berada di tahap terbaik selepas ia dipilih untuk menjadi venue empat perlawanan penting sepanjang bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Nik Razeen Adam Daud, mengakui perkara itu akan menjadi cabaran buat badan berkenaan memandangkan cuaca yang tidak menentu di sekitar Lembah Klang.

Beliau turut menjelaskan permukaan padang di Stadium Nasional memerlukan tempoh sekurang-kurangnya tiga minggu untuk berada di tahap terbaik selepas satu-satu perlawanan.

Sebagai rekod, Stadium itu akan menjadi venue perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu ini selain dua perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan satu aksi persahabatan skuad kebangsaan.

"Kami sudah membuat pelan persediaan untuk memulihkan rumput.

"Apa yang boleh kami lakukan, kami akan buat.

"Apa yang paling mencabar, selepas bertemu Thailand (dalam pusingan kelayakan), hanya ada lima hari sebelum Malaysia bertemu Indonesia," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, gusar jika skuad kebangsaan terpaksa beraksi dengan keadaan padang yang kurang sempurna dalam aksi persahabatan menentang Tajikistan (9 November ini), selain aksi kelayakan menentang Thailand (14 November) dan Indonesia (19 November).

"Kerisauan bukan hanya tentang keadaan padang tetapi juga terhadap cuaca, baru-baru ini memang sentiasa hujan.

"Perbincangan dengan pihak PSM telah berjalan sejak dua bulan lalu dan kami yakin mereka sebagai rakan kepada FAM, akan bekerja keras untuk memastikan keadaan padang (baik)," katanya.