Padang sintetik beri kesukaran buat Cougars

Oleh Penulis Jemputan 14 Disember 2017 413
Padang sintetik beri kesukaran buat Cougars
Permukaan padang sintetik memberi sedikit kesukaran buat skuad Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Malaysia Cougars B-14 selepas mereka kecundang 1-2 kepada Arsenal B-14 dalam aksi kedua peringkat kumpulan, Piala Supermokh 2017 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Cougars, yang juga juara bertahan sebelum ini, memulakan kempen dengan cemerlang menerusi kemenangan 4-1 ke atas wakil Qatar, Akademi Aspire, di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Namun, pertemuan menentang skuad muda Arsenal itu menyaksikan Padang Sintetik MSN menjadi gelanggang pertarungan.

Menurut jurulatih Cougars, Ahmad Nurfaizal Patrick Abdullah, pasukannya lambat menemui momentum kerana aksi di padang itu lebih pantas dan memberi kelebihan buat lawan.

"Peningkatan hanya berlaku pada separuh masa kedua, berbeza dengan semalam. Semalam, dari separuh masa pertama lagi kami sudah mula menonjol.

"Pemain-pemain mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan keadaan. Semalam, kami bermain di padang rumput tetapi hari ini kami bermain  di padang sintetik. Sebaliknya, sebelum ini berlatih di padang rumput," katanya.

Sementara itu, Arsenal mengidamkan kemenangan ketiga berturut-turut menjelang pertemuan dengan Akademi Aspire dalam aksi terakhir kumpulan esok.

Tiga mata penuh akan mengukuhkan kedudukan wakil England itu selaku juara Kumpulan B.

Begitupun jurulatihnya, Ryan Garry, mengambil pendekatan berwaspada kerana masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki anak didiknya.

"Kedua-dua perlawanan semalam dan hari ini memberi cabaran yang baik kepada kami, kami menjangkan ia sama esok. Ia adalah penting untuk kami membina daripada hari pertama dan kedua," katanya.

Keputusan perlawanan hari ini:

B-14

AMD Malaysia Panthers 0-2 Foolad Sepahan
AMD Malaysia Cougars 1-2 Arsenal

B-13

AMD Malaysia Panthers 1-3 PSG
AMD Malaysia Cougars 12-1 Gyeongnam FC

B-12

AMD Malaysia Panthers 0-3 Sporting
AMD Malaysia Cougars 4-0 Hajduk Split

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen