Ketua jurulatih Espanyol, Quique Sanchez Flores, memohon maaf kepada penyokong berikutan tindakannya memuji bintang Barcelona, Lionel Messi, selepas menyaksikan pasukannya tewas 4-1 kepada kelab itu di Camp Nou, hujung minggu lalu.

Messi mempamerkan aksi mantap apabila berjaya menyumbang satu gol di samping terlibat dalam menghasilkan dua gol -- dan Flores kemudian memuji aksi pemain itu ketika sesi sidang media selepas memeluk pemain itu sebaik tamat perlawanan.

Tingkah laku Flores itu mencetuskan kemarahan penyokong Espanyol dan pengendali berusia 51 tahun itu menyedari kesilapannya ekoran kedua-dua pasukan memiliki sejarah permusuhan di Sepanyol.

"Saya memohon maaf kerana saya tidak berniat menyakiti hati penyokong," Flores memberitahu Marca.

"Saya cukup komited dengan identiti pasukan ini. Jelas saya belum cukup memahami tradisi 116 tahun pasukan ini kerana saya baru sahaja berada di sini selama tiga bulan, namun saya mahu penyokong berasa gembira. Untuk itu, saya memohon maaf.

"Kadang-kala apa yang saya lakukan itu agak spontan dan saya cuba melayan pihak lawan dengan cara yang terbaik.

"Saya sangat menghormati penyokong Espanyol kerana mereka menerima saya dengan cukup baik."