Ketua jurulatih Barcelona, Luis Enrique, teruja melihat Paco Alcacer akhirnya melakar nama selaku penjaring dalam aksi Piala Raja Sepanyol berdepan Hercules.

Alcacer gagal menterjemahkan sebarang jaringan dalam 10 penampilan bersama kelab itu sejak berhijrah dari Valencia, Ogos lalu, namun berjaya menamatkan badi dalam kemenangan 7-0 (agregat 8-1) ke atas Hercules dalam aksi kedua pusingan 32 pada Rabu.

Arda Turan melengkapkan hatrik selepas jaringan Alcacer, dengan Lucas Digne, Ivan Rakitic dan Rafinah masing-masing melakar nama selaku penjaring.

"Saya tidak pernah sangsi terhadap kemampuannya kerana perkara seperti ini berlaku di dalam bola sepak,"Enrique memberitahu sidang media.

"Kami tahu kemampuannya. Saya yakin dengan aksi Paco dan setiap pemain dalam pasukan ini."

Ketika aksi pertama pusingan 32, Barcelona menurunkan skuad muda dan terpaksa berpuas hati dengan keputusan 1-1.

Namun, enggan mengulangi kesilapan sama dalam aksi kedua, Enrique menamakan kesebelasan berpengalaman.

"Setiap pemain mempamerkan aksi mantap kerana mereka sedar perlawanan ini cukup penting," tambah Enrique.

"Hercules bertahan dengan baik tetapi pemain saya tidak melatah dan terus menguasai hantaran sehingga meletihkan pihak lawan.

"Dalam separuh masa kedua, kami memastikan perlawanan menjadi milik kami."