Mesut Ozil berkemungkinan besar akan kembali dalam kesebelasan utama Arsenal untuk mengetuai The Gunners dalam aksi Piala EFL berdepan Liverpool, awal pagi esok.

Pengurus pasukan, Unai Emery, mendedahkan pemain tengah Jerman itu masih dalam perbincangan untuk mengetuai skuad The Gunners bagi aksi Piala EFL di Anfield.

Pemain berusia 31 tahun itu hanya melakukan dua penampilan musim ini ketika turun beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Watford dan dalam saingan Piala EFL menentang Nottingham Forestbulan lalu.

Ozil telah dikaitkan dengan perpindahan meninggalkan Stadium Emirates, namun dilaporkan tidak dibenarkan menyertai mana-mana kelab sehingga Januari depan.

Emery mendedahkan perbincangan di antara pihak pengurusan dan pemain semalam membuahkan hasil dan Ozil mungkin turun berdepan Liverpool.

"Dia bersama pasukan dan berpeluang untuk beraksi," katanya. "Kami telah berbincang semalam dan Ozil memberitahu saya dia masih lagi tidak berubah hati mengenai dirinya.

"Dia menyedari apa yang saya mahukan daripadanya. Kami telah membincangkan perkara yang sama sejak musim lalu. Aksi konsisten dan ketersediaan untuk beraksi amat penting untuk membantu pasukan.

"Tetapi apa yang boleh saya katakan dia mula menampilkan peningkatan dalam sesi latihan sejak minggu lalu dan semangat yang dimiliki Ozil mampu membantu pasukan."

Ditanya sama ada Ozil mampu mengetuai pasukan ketika berdepan skuad kendalian Jurgen Klopp itu sewaktu Granit Xhaka bakal direhatkan, Emery berkata, "Ia bergantung. Mungkin ya."

Emery menjelaskan lagi, "Kami memerlukan kualiti, kemahiran dan aksi konsisten daripada Ozil. Kami memerlukan mentaliti positif, kemudian membantu pasukan di atas padang."