Mesut Ozil direhatkan dalam pertemuan Liga Europa ketika Arsenal melakukan kunjungan ke Eintracht Frankfurt walaupun hanya muncul sekali dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Ozil memulakan aksi ketika mereka diikat 2-2 di Watford, kelmarin, tetapi digantikan selepas 71 minit permainan yang menyaksikan bekas pemain tengah Jerman itu mencipta bantuan gol dalam gerakan gol kedua Pierre-Emerick Aubameyang.

Kecederaan pergelangan kaki yang membelenggu Alexandre Lacazette menawarkan Ozil tempat di bahagian serangan, namun pengurus, Unai Emery, memilih untuk tidak membawa pengatur serangan itu dalam aksi Kumpulan F di Frankfurt, awal pagi esok.

"Kami akan menempuhi banyak perlawanan dan saya mahu menggunakan pemain yang berbeza," kata Emery dalam sidang akhbar dengan menamakan pemain remaja, Bukayo Saka dan Gabriel Martinelli, dalam skuad 19 pemainnya.

"Kami boleh membuat beberapa rombakan terhadap barisan utama dan senarai 19 pemain. Sokratis Papastathopoulos dan Mesut direhatkan untuk perlawanan ini.

"Kami akan bermain dalam satu lagi perlawanan, iaitu menentang Aston Villa, Ahad ini. Keputusan saya itu didorong kerana dia telah terlibat menentang Watford, saya memikirkan kesebelasan utama sempena perlawanan esok dan selepas itu, saya akan memutuskan siapakah yang akan menjadi pilihan seterusnya.

"Ozil beraksi dengan baik dalam perlawanan lalu berdasarkan kemampuan dan kemahirannya. Dia beraksi dengan baik dalam kesempatan pertama yang diberikan, dia akan membantu kami dalam perlawanan Ahad ini. Kami akan berdepan satu lagi perlawanan. Saya menjangkakan kebangkitan. "

Ditanya adakah pemain berusia 30 tahun itu dipinggirkan berikutan persaraan antarabangsa kontroversinya daripada skuad Jerman, Emery berkata: "Tidak."

The Gunners melepaskan gol mudah ketika menentang Watford berikutan kehilangan bola yang cuba dimainkan daripada tendangan gol.

Sehubungan itu, pengurus itu sedar pasukannya perlu memantapkan lagi bahagian pertahanan memandangkan telah dibolosi sebanyak tujuh kali dalam tiga perlawanan terakhir yang berakhir tanpa kemenangan.

"Analisis pertama saya adalah tentang bagaimana kami boleh memperbaiki dan memulihkan keyakinan, memulakan dan mengawal perlawanan," tambahnya.

"Kami begitu bergelut dalam perlawanan terdahulu daripada yang dijangkakan. Kami juga melakukan beberapa kesilapan dan melepaskan beberapa gol. Kami sedang memperbaikinya sejak semalam dan begitu juga hari ini, Eintracht kebiasaannya gemar membuat tekanan tinggi.

"Kami perlu memperbaikinya dalam perlawanan esok. Beberapa kesilapan yang dilakukan dalam perlawanan lalu perlu diperbaiki.

"Kami mahu mendominasi setiap perlawanan melalui kawalan bola dan dengan posisi kami. Kami berjaya melakukannya dalam babak pertama, Isnin lalu. Esok merupakan cabaran baru mengenai soal bagaimana kami boleh memperbaiki kemampuan."