Bekas bintang England, Michael Owen, percaya bakat pemain muda negara itu pada ketika ini tidak setaraf dengan generasinya.

Gareth Southgate menerima banyak pujian baru-baru ini kerana mengetengahkan peluang kepada pemain muda yang menyaksikan bekas jurulatih Middlesbrough itu pernah menangani skuad B-21 sebelum dilantik untuk menggantikan Sam Allardyce.

Dalam dua perlawanan terakhir England -- seri 0-0 dengan Jerman dan Brazil -- Southgate memberi kemunculan pertama kepada Tammy Abraham, Joe Gomez, Ruben Loftus-Cheek dan Dominic Solanke sementara teras skuad itu turut terdiri daripada pilihan pemain muda.

Kecederaan memaksa Southgate menangani situasi itu, namun keputusannya untuk memanggil Loftus-Cheek berbanding Jack Wilshere telah menarik perhatian ramai tentang keteguhan prinsipnya memilih pemain utama di peringkat kelab.

Pemain muda berbakat lain termasuk Harry Kane dan Harry Winks terlepas perlawanan baru-baru ini akibat kecederaan.

Owen bagaimanapun masih tidak fikir skuad kendalian Southgate itu berada di tahap yang sama dengan generasinya.

"Sudah jelas tidak ramai yang akan mempersoalkan pemain pada zaman saya," kata Owen kepada Omnisport.

"Kami memenangi hampir setiap kejohanan belia yang disertai, sama seperti ketika ini.

"Saya tidak fikir sesiapapun pernah mempersoalkan keupayaan atau kualiti pasukan kami. Beberapa pemain kami dalam generasi saya telah memenangi Liga Juara-Juara (UCL) dan trofi utama.

"Mereka adalah pemain terbaik di dunia. Adakah generasi ini lebih baik?

"Pemain seperti Paul Scholes, Steven Gerrard, Wayne Rooney, Rio Ferdinand, Frank Lampard, David Beckham dan saya sendiri terlintas dalam fikiran. Saya tidak fikir generasi pemain hari ini lebih baik, namun mereka masih mempunyai pemain yang mampu pergi jauh, sudah pasti lebih jauh.

"Seperti yang saya katakan, kualiti pemain kurang membimbangkan saya, cuma yang saya khuatirkan ialah mentaliti dalam kejohanan utama dan adakah mereka akan beraksi seperti dalam kempen kelayakan -- seolah-olah mereka tiada tandingan.

"Ia menjadi tanda tanya di seluruh England selepas beberapa kempen yang mengecewakan," katanya lagi.