Selama 27 tahun menabur bakti bersama pasukan Selangor sebagai 'kitman', Othman Saad berharap khidmatnya akan terus diingati oleh barisan pemain pada musim depan.

Othman atau lebih dikenali sebagai Abang Man merupakan kitman yang paling lama berkhidmat dalam pasukan bola sepak sejak tahun 1991 lagi.

Kontraknya tidak disambung pada musim depan, apatah lagi dengan keadaannya yang tidak mengizinkan apabila kini mengalami sakit tulang belakang.

Sudah sebati dengan sukan bola sepak sejak sekian lama, Othman tidak menolak agak terkilan kerana perlu meninggalkan tugasnya pada usia 68 tahun.

Namun, dia mengharapkan barisan pemain Selangor tidak akan pernah melupakannya selepas sekian lama menabur bakti bersama pasukan itu.

Andai diberi peluang kembali bertugas apabila sihat semula, Othman sanggup menerima tawaran itu dengan hati terbuka.

"Saya mendoakan kejayaan pasukan Selangor. Pemain-pemain ini sudah dianggap seperti anak sendiri," kata Othman.