Patrick Cutrone tidak akan meninggalkan AC Milan dan akan memperbaharui kontraknya bersama Rossoneri.

Perkara itu disahkan oleh ejennya, Donato Orgoni, yang menjelaskan perjanjian baru akan dicapai di San Siro walaupun khidmatnya mula menjadi idaman pasukan di Eropah.

Penyerang berusia 20 tahun itu mengharungi musim yang hebat apabila mencatat tujuh jaringan hasil daripada 20 penampilan dalam Serie A bagi musim 2017/18 walaupun gagal mencipta sebarang gol setelah beraksi sebanyak lima perlawanan pada musim lalu.

Prestasi itu membolehkannya dipanggil membarisi skuad kebangsaan Itali dan melakukan penampilan pertama ketika menentang Argentina bagi aksi persahabatan, baru-baru ini.

"Kami akan memperbaharui kontraknya tidak lama lagi.

"Ia tidak akan mendatangkan masalah walaupun terdapat beberapa pasukan yang cuba mendapatkannya," kata Organi kepada Tuttosport.

Dalam masa sama, Orgoni turut melaungkan keyakinan bahawa Cutrone mampu menyumbang lebih daripada yang telah dibuktikan, sama seperti seorang lagi pemain yang diwakilinya yang kini bersama Juventus, Matteo De Sciglio.

"Saya yakin dia masih mempunyai banyak ruang untuk terus berkembang. Cutrone kini berusia 20 tahun dan masih belum melalui musim yang penuh sementara De Sciglio baru mencapai 60 peratus daripada kebolehannya.

"Mereka kini di landasan tepat. Melihat mereka berdua mewakili skuad Itali adalah sesuatu yang membanggakan," katanya.

Cutrone dan De Sciglio bakal berdepan antara satu sama lain malam esok apabila Juve melayan kunjungan Milan di Stadium Allianz.