Brazil adalah pilihan hangat untuk ditabalkan juara buat rekod kali keenam di Russia 2018, menurut Peramal Piala Dunia Opta.

Susulan majlis undian di Moscow semalam, di mana Brazil dipadankan dengan Switzerland, Costa Rica dan Serbia dalam Kumpulan E, Opta memberikan skuad bimbingan Tite itu 14.2 peratus peluang untuk menjulang trofi dan 22.5 peratus peluang untuk mara ke perlawanan akhir.

Juara bertahan, Jerman, adalah pilihan kedua pada 11.4 peratus manakala Argentina (10.9 peratus) dan Perancis (10.5 peratus) adalah pasukan-pasukan lain yang dianggap berpeluang lebih 10 peratus.

Sepanyol, juara pada 2010, akan berdepan pasukan tetangga, Portugal, dalam Kumpulan B yang menarik.

Pasukan bimbingan Julen Lopetegui itu diberi 73.6 peratus peluang untuk melepasi peringkat kumpulan, satu angka yang merosot kepada 55.6 peratus buat Cristiano Ronaldo dan pasukan juara Eropah yang dianggotainya.

England dan Belgium akan berdepan sesama sendiri dalam pertemuan Kumpulan G yang akan sarat dengan bakat-bakat Liga Perdana Inggeris.

Selepas Sepanyol (16.2 peratus), Belgium dilihat sebagai pasukan keenam paling berkemungkinan untuk layak ke final di sebalik peluang mereka hanya 8.2 peratus.

Skuad The Three Lions di bawah pengendalian Gareth Southgate, yang menyasarkan untuk bangkit daripada kekecewaan dalam kejohanan utama, hanya diberi 4.7 peratus peluang untuk mara ke final – lebih rendah daripada lawan berpotensi dalam pusingan 16, Jepun (4.8 peratus) dan Colombia (5.7 peratus).

Tuan rumah, Russia, diletakkan selaku pilihan ke-15 bersama lawan Jerman di peringkat kumpulan, Mexico, dengan 1.7 peratus peluang untuk muncul juara.

Skuad bimbingan Stanislav Cherchesov itu hanya diberi 50.7 peratus peluang untuk layak ke peringkat kalah mati dari Kumpulan A yang turut mengandungi Uruguay, Mesir dan Arab Saudi.

Pendatang baru, Panama, pula diberi 0.7 peratus peluang untuk tampil juara, dengan hanya Maghribi (0.5 peratus) yang memiliki peluang lebih kecil.