Kumpulan yang mewakili 52 ahli gabungan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) kini menyerahkan sepenuhnya kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) berhubung status kesahihan kongres luar biasa (EGM) yang diadakan Khamis lalu.

Menurut wakil kumpulan itu, Omar Ali -- yang juga bekas exco FAS -- mereka akan berjumpa PJS, Datuk Zaiton Othman, dalam masa terdekat untuk menyerahkan semua dokumen berhubung EGM tersebut.

Omar memberikan bayangan akan akur dengan apa sahaja keputusan PJS walaupun ia tidak memihak kepada mereka.

Namun, dia tetap mempertahankan EGM yang diadakan sebagai satu keperluan dalam menyalurkan isi hati ahli-ahli gabungan yang kurang selesa dengan cara pentadbiran FAS.

"Apa yang kami lakukan, kami mengikut perlembagaan persatuan. Biarlah pihak PJS menentukan EGM ini sah atau sebaliknya, kami akan mengumpul semua laporan sebelum menghantarnya kepada PJS," katanya.

Selain itu, Ahli Exco FAS, Datuk Ariffin Abdul Hamid menjelaskan mereka bukannya mahu menjadi penderhaka kepada Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sebaliknya, beliau dan rakan-rakan mendakwa kumpulan baru yang wujud dalam FAS umpama mengambil kesempatan ke atas Tengku Amir Shah.

"Kami hanya mahu menyelamatkan FAS. Kami tidak memiliki hak serta kepentingan dalam persatuan ini," kata Ariffin.