Martin Odegaard mahu kekal di Real Sociedad dalam musim 2020-21 berbanding kembali ke Real Madrid, menurut Imanol Alguacil.

Pemain berusia 21 tahun itu menyertai La Real secara pinjaman sepanjang musim sejak Julai tahun lalu dan dilaporkan mempunyai pilihan untuk melanjutkan perjanjian berkenaan setahun lagi.

Odegaard mengikat kontrak dengan Madrid pada 2015 dan sejak itu telah dipinjamkan ke Heerenveen dan Vitesse sebelum pemain antarabangsa Norway berkenaan kembali menemui rentak terbaiknya di bawah asuhan Imanol dalam LaLiga.

Timbul cadangan bahawa Madrid akan memanggil semula pemain tengah itu ke ibu kota Sepanyol sejurus musim ini berakhir, sama ada untuk menjualnya bagi mengumpul dana di sebalik krisis COVID-19 atau sebagai pengganti jangka panjang buat Luka Modric.




Namun, Presiden Sociedad, Jokin Aperribay, minggu ini memberitahu Radio Euskadi bahawa dia berharap Odegaard akan menetap di kelabnya yang merupakan pilihan terbaik demi perkembangannya.

Lantas, pengurus itu menjangkakan pemain tersebut akan kekal di San Sebastian.

"Ini sesuatu yang saya belum bincangkan dengannya tetapi saya menganggapnya pasti akan berada di sini, seperti pemain-pemain yang lain juga," katanya menjelang pertemuannya menentang Osasuna, esok.

"Mengapa? Ini berdasarkan cara saya melihat mereka, bagaimana mereka kembali selepas perintah kawalan pergerakan.

"Tahap kami tetap sama: seluruh pasukan memberikan komitmen, ingin beraksi, saling merebut tempat.

"Kami kembali dengan mentaliti yang sama dan itu membuatkan saya berasa tenang.

"Dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku tetapi semua orang sangat teruja untuk melengkapkan musim ini dengan baik dan memiliki tahun yang sangat indah tahun depan.

"Martin telah menempuhi tahun yang hebat tetapi seperti yang selalu saya katakan, itu adalah kerana dia telah meningkat menerusi latihan.

"Dia sedar bahawa dia sedang berada di sebuah kelab hebat yang menawarkan banyak kelebihan kepadanya dan dia juga telah mengerah keringat. Saya rasa dia sangat gembira dan bersemangat untuk kembali beraksi."

Odegaard telah mencatat empat gol dan lima bantuan jaringan dalam 23 penampilan liga musim ini.

Sebelum LaLiga ditangguhkan Mac lalu, Sociedad menduduki tangga keempat, berkongsi 46 mata dengan Getafe yang berada di tempat kelima manakala berkelebihan satu mata di atas seteru di tempat keenam, Atletico Madrid.