Kejohanan bola sepak peringkat negeri atau lebih dikenali sebagai Piala Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) dilihat platform terbaik bagi mencungkil bakat tempatan untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Menurut Naib Presiden PAFA, Datuk G. Irridianathan, setelah kejohanan itu diperkenalkan, ramai bakat baru muncul mewarnai sukan bola sepak, khasnya di negeri Perak.

"Contoh kita ambil daripada pasukan yang bertanding di peringkat akhir (semalam), mereka menunjukkan mutu permainan tinggi.

"Lima hingga enam pemain edisi lalu telah dipanggil menyarung jersi negeri dalam pelbagai peringkat kejohanan.

"Dalam erti kata lain, kita mampu menjadi 'kilang' pemain bola sepak kerana berjaya menawarkan pemain-pemain yang berkualiti," ujarnya.

Ulasan itu turut disokong ketua jurulatih pasukan Hilir Perak, Muhammad Rizal Yahaya.

"Pemain saya ada yang berusia 16 sehingga 18 tahun dan mereka menunjukkan peningkatan. Ini (Piala Presiden PAFA) adalah pentas terbaik menimba pengalaman."

Bagi PAFA, kejohanan ini adalah merupakan platform untuk mengenal pasti serta mencungkil bakat baru. Untuk rekod, pemain seperti Azizol Abu Haniffah dan Karim Pin adalah sebahagian daripada pemain legenda yang dicungkil daripada piala sebegini.