John Obi Mikel telah meninggalkan Trabzonspor selepas menggesa Super Lig Turki untuk dihentikan ekoran wabak coronavirus.

Menerusi laman Instagram pada Sabtu lalu, bekas pemain tengah Chelsea itu berkata dia tidak rasa selesa untuk meneruskan saingan domestik tatkala kejohanan lain dalam Eropah telah ditangguhkan.

Sehingga kini terdapat 98 kes melibatkan wabak itu di Turki.

"Terdapat perkara lebih besar berbanding bola sepak," katanya.

"Saya tidak rasa selesa dan tidak mahu bermain bola sepak dalam situasi begini.

"Semua orang patut berada di rumah bersama keluarga dan tersayang dalam waktu kritikal. Musim patut dihentikan ketika dunia berdepan tempoh sukar."

Trabzonspor kini mengesahkan kontrak Mikel yang patut berakhir 31 Mei 2021 telah ditamatkan atas persetujuan bersama.

Bekas kapten Nigeria yang bersara daripada pentas antarabangsa selepas Piala Negara-Negara Afrika tahun lalu itu menyertai Trabzonspor Julai lalu selepas menyarung jersi Middlesbrough dalam jangka masa pendek.

Aksi bola sepak di Turki diteruskan minggu ini walaupun kebanyakan saingan di Eropah telah ditangguhkan.

England, Perancis, Sepanyol, Jerman dan Itali merupakan antara negara yang menghentikan saingan domestik tatkala UEFA menangguhkan saingan Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa.

Euro 2020 dan Copa America telah ditunda sehingga tahun depan untuk memberi ruang kalendar 2019-20 ditamatkan.

Terdapat lebih 200,000 kes yang disahkan menghidapi coronavirus sehingga menyebabkan lebih 8,000 kematian.