JERMAN 2 IRELAND UTARA 0

Pengendali pasukan, Michael O'Neill, menegaskan kekalahan 2-0 di tangan Jerman dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 bukanlah penamat buat Ireland Utara.


Gol yang dihasilkan oleh Julian Draxler dan Sami Khedira menyaksikan Jerman mendahului 2-0 dalam separuh masa pertama dan Ireland Utara gagal untuk bangkit pada baki 45 minit perlawanan.

O'Neill percaya kekalahan ini bukan penamat buat Ireland Utara kerana perjalanan aksi kelayakan Piala Dunia 2018 masih panjang.

"Saya tidak boleh meminta lebih lagi daripada pemain saya," jelas O'Neill.

"Pada babak kedua perlawanan, kami telah bertahan dengan baik. Kami telah cuba untuk mencari gol pada babak kedua, namun ia tidak membuahkan hasil.

"Kami telah tewas 2-0 tetapi selepas melihat perlawanan ini, kami tidak perlu berasa cemas kerana perjalanan aksi kelayakan Piala Dunia ini masih panjang.

"Kami perlu melihat ke hadapan dan bersedia untuk perlawanan bertemu Azerbaijan."

Ireland Utara menduduki tangga ketiga Kumpulan C selepas mengumpul empat mata daripada tiga perlawanan.