BRAGA 3 WOLVES 3

Pengendali Wolverhampton Wanderers, Nuno Espirito Santo, berbangga dengan malam yang tidak akan dilupakan buat peminat kelab itu selepas keputusan seri 3-3 di Braga mengesahkan slot dalam pusingan kedua Liga Europa.


Kelab Liga Perdana Inggeris itu bangkit selepas rehat daripada ketinggalan satu gol untuk mendahului 3-1 di Portugal tatkala Raul Jimenez, Matt Doherty dan Adama Traore menemui sasaran.

Namun, Braga terus memberi cengkaman dalam saingan Kumpulan K itu selepas rehat menerusi jaringan Paulinho dan Fransergio.

Satu mata sudah cukup untuk mengesahkan kelayakan Wolves ke pusingan 32 ketika masih berbaki satu perlawanan dan Nuno berbesar hati dengan penyokong yang hadir ke tempat lawan itu.

"Saya sangat bangga, 6,000 penyokong di sini sangat hebat," katanya.

"Ia memerlukan usaha daripada mereka, kos penerbangan serta terpaksa melalui perjalanan panjang dan dalam malam sebegini, ia membuatkan kami bangga.

"Kami memulakan perjalanan bersama-sama, sejak Liga Kejuaraan. Jika kami boleh mencapai sesuatu yang lebih besar, kami akan cuba. Ia kumpulan sama dengan pemain yang memulakan sejak awal, cuba untuk berkembang dan peminat kami sentiasa menyokong. Ia membuatkan saya gembira."

Walaupun telah membuktikan kemampuan meneruskan kemaraan Wolves dalam saingan di Eropah, Nuno menegaskan masih terdapat beberapa perkara yang perlu ditingkatkan.

"Babak pertama agak bagus. Kami bermula buruk, melepaskan jaringan dan itu memang boleh berlaku tetapi reaksi pemain sangat baik," tambahnya.

"Kami memberi tekanan, kekal tersusun dan mencapai kombinasi yang baik. Jadi, secara semulajadi kami mendapatkan gol. Cara pasukan memberikan reaksi sangat baik.

"Babak kedua tidak begitu baik dan tersusun, membiarkan Braga melakukan hantaran dan perkara itu perlu kami tingkatkan.

"Musim semakin panjang dan ia perlawanan yang memerlukan komitmen tinggi. Kami bermula sangat awal pada musim ini, namun keseimbangan dalam pasukan agak baik. Seluruh skuad sedang meningkat dan pemain memberi tindak balas.

"Kami perlu kekalkan momentum ini dalam beberapa hari menjelang aksi menentang Sheffield United dan kami harus meningkatkan prestasi.

"Kami tidak mempunyai had, terus mencuba dan menghadapi aksi seterusnya."