WOLVES 4 BESIKTAS 0

Nuno Espirito Santo mengisytiharkan dirinya berbangga dengan Wolves yang menamatkan saingan peringkat kumpulan Liga Europa dengan kemenangan 4-0 ke atas Besiktas di laman sendiri awal pagi tadi.


Kemenangan 4-2 Braga ke atas Slovan Bratislava dalam satu lagi perlawanan memastikan tempat mereka selaku peneraju Kumpulan K sambil Wolves menumbangkan lawan dari Turki itu menerusi aksi cemerlang dalam babak kedua.

Kemasukan Diogo Jota dari bangku pemain simpanan menjadi pencetus pesta jaringan Wolves dengan pemain gantian itu mencatatkan hatrik terpantas dalam sejarah Liga Europa sejak 2014.

Leander Dendoncker menebus kesilapannya mensia-siakan peluang pada awal permainan dengan menanduk masuk satu lagi gol untuk kelab Liga Perdana Inggeris itu menghadiri majlis undian pusingan 32, Isnin ini.

"Saya fikir pada akhirnya kami bermain dengan amat baik," kata Nuno dalam sidang media.

"Kami tidak bersaing untuk merebut tempat tertentu (dalam peringkat kumpulan).

"Kami melalui perlawanan demi perlawanan dan melihat ke mana ia akan membawa kami.

"Ia telah membawa kami ke pusingan kalah mati dan kami berbangga untuk berada di sana," katanya.

Keputusan Nuno untuk memasukkan Jota pada awal babak kedua menjadi faktor yang mengubah nasib pasukannya dengan penyerang itu melakukan hatrik dalam tempoh 11 minit.

"Kami amat lega. Apabila anda melakukan pertukaran, anda akan cuba untuk mengubah permainan dan mencari penyelesaian terbaik.

"Diogo telah melakukannya dengan amat-amat baik," tambahnya.