Kemunculan kelima Norshahrul Idlan Talaha di pentas Piala Suzuki AFF kini menjadi sebutan peminat bola sepak.

Jika dulu dia lebih bertindak sebagai penyerang sokongan, kini pemain kelahiran Terengganu itu cemerlang sebagai penggempur dan penggerak utama Harimau Malaya.

Kejayaan barisan negara kendalian Datuk K. Rajagobal meraih kejuaraan edisi 2010 masih segar dalam ingatan peminat dengan Norshahrul turut memainkan peranan penting tatkala tumpuan ketika itu lebih terarah kepada Safee Sali.

Kini, pada usia yang sudah menjangkau 32 tahun, pemain Pahang itu lebih matang selaku watak utama barisan negara.

Namun, Norshahrul enggan mendabik dada dengan aksinya kali ini kerana sedar perjalanan masih jauh untuk mengulangi sejarah cemerlang edisi 2010.

"Bagi saya, masih banyak perlawanan. Saya rasa kami harus bekerja lebih keras lagi. Selepas ini, kami akan bertemu Vietnam dan ia bukan calang-calang pasukan. Saya dan rakan sepasukan akan cuba menampilkan permainan terbaik di Vietnam nanti," katanya.

Sementara itu, pengendali Pahang, Dollah Salleh, yang kini menjalani ibadah umrah mengakui Norshahrul ada menghubunginya untuk mendoakan kejayaan berdepan Laos dan bekas jurulatih kebangsaan itu turut bangga dengan aksi bekas pemain Terengganu itu.

"Sebelum dia sumbat gol, dia ada menghubungi saya, minta didoakan untuk aksi semalam. Alhamdulillah doa termakbul dan dia menyumbat dua jaringan. Setakat ini, Norshahrul dilihat mempamerkan aksi terbaik dan menjaringkan gol," ujar Dollah.

"Apabila Norshahrul menjaringkan gol, ternyata posisinya berada di bahagian yang tepat untuk menyambut bola," tambah pemerhati bola sepak negara, Asmawi Bakiri.