Diego Simeone menegaskan adalah normal untuk Luis Suarez berasa kecewa selepas digantikan ketika Atletico Madrid tewas kepada Chelsea dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi sambil menjelaskan bahawa keputusan itu diambilnya kerana pasukannya "tidak berada di tahap terbaik".

Gol daripada Hakim Ziyech dan Emerson Palmieri memberikan Chelsea kemenangan 2-0 dalam perlawanan kedua pusingan 16 di Stamford Bridge selepas skuad kendalian Simeone itu, yang merupakan pendahulu LaLiga ketika ini, tewas 0-1 menerusi penyudah Olivier Giroud dalam perlawanan pertama di Madrid.

Suarez hanya dapat melakukan satu percubaan dan hanya menyentuh bola sebanyak 19 kali sebelum digantikan dengan Angel Correa pada minitke-58.

Selepas meninggalkan padang dengan raut wajah kebingungan, pemain itu langsung tidak duduk di bangku pemain.

Penyerang berusia 34 tahun itu kini gagal menjaringkan sebarang gol dalam 25 perlawanan terakhir UCL di tempat lawan, kurang satu berbanding rekod 26 gol yang dihasilkannya dalam kejohanan itu.

"Adalah normal untuk pemain berasa kecewa apabila dikeluarkan," kata Simeone kepada Movistar.

"Kami mahu mengubah beberapa perkara untuk meningkat ke tahap terbaik dan mancari jalan lain dalam melakukann serangan. Saya bukannya mencari alasan.

"Mereka lebih layak menang dalam dua perlawanan ini. Perlawanan pertama agak setara tetapi mereka mendapatkan gol. Hari ini, mereka lebih baik berbanding kami dan layak menang.

"Kami mencuba untuk mencari jalan bagi menjaringkan gol tetapi kami tidak berada di tahap terbaik dengan usaha itu," katanya.

Dengan Atletico kini berkelebihan empat mata di depan Barcelona untuk menduduki tempat teratas LaLiga berbaki 11 perlawanan, Simeone berkata bahawa saingan UCL bukanlah keutamaan buat mereka.

Dia turut memuji persembahan Joao Felix, yang hampir menemui jaringan pada penghujung perlawanan selepas Stefan Savic dilayangkan kad merah susulan menyiku Antonio Rudiger.

"Mudah untuk berasa kecewa selepas perlawanan tamat. Anda tidak boleh berasa kecewa, perlawanan itu sudah berlalu. Kami perlu menggunakannya sebagai pengajaran.

"Kami mahu kekal dalam UCL tetapi kami tidak bermain baik dalam kejohanan tahun ini, namun saya gembira, terutama dengan apa yang dipamerkan Joao Felix hari ini.

"Kami cuba mengubah sistem kami, cuba memberikan mereka tekanan tetapi tidak dapat melepasinya, mereka pasukan yang lebih baik daripada kami. Anda tidak boleh katakan apa-apa selain daripada itu. Kami perlu meningkat," katanya lagi.