Normal buat seorang juara marah -- Szczesny pertahan Ronaldo

Oleh Penulis Jemputan 12 November 2019 1607
Normal buat seorang juara marah -- Szczesny pertahan Ronaldo
Reaksi marah yang ditunjukkan Cristiano Ronaldo sewaktu dibawa keluar ketika menentang AC Milan adalah sesuatu yang normal dan dia akan menghadirkan perbezaan dalam waktu penting musim ini, kata penjaga gol Juventus, Wojciech Szczesny.

Penggempur Portugal, Ronaldo, dibawa keluar dalam dua perlawanan berturut-turut ketika The Bianconeri sedang memburu gol dan sama seperti ketika berdepan Lokomotiv Moscow pada pertengahan minggu lalu, Juve meraih kemenangan hasil gol tunggal Paulo Dybala.

Ronaldo terus menuju ke terowong pemain selepas dikeluarkan dan dilaporkan meninggalkan Stadium Allianz sebelum perlawanan tamat.

Selepas aksi itu, pengendali Juve, Maurizio Sarri, berkata Ronaldo masih bergelut dengan kecederaan lutut dan dia patut menerima ucapan terima kasih kerana tetap mencuba untuk beraksi dalam kesakitan.

Reaksi marah Ronaldo ketika dikeluarkan itu jelas sekali menunjukkan dia tidak gembira dengan keputusan Sarri walaupun pihak kelab dilaporkan tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas bintang penyerang itu.

Dan Szczesny bersimpati dengan reaksi Ronaldo apabila berkata: "Saya fikir ia normal apabila seorang juara sedikit marah apabila dibawa keluar.

"Dia akan kembali dengan keadaan fizikal yang lebih baik, sama seperti yang sering dia lakukan, memberikan perbezaan dalam waktu penting setiap musim.

"Dalam beberapa minggu, dia tidak berlatih 100 peratus tetapi selepas tempoh rehat antarabangsa, segala-galanya akan lebih baik. Semua orang tahu kualiti dan personaliti yang dimiliki Ronaldo."

Selepas perlawanan itu, Ronaldo menulis dalam laman Instagram peribadinya: "Perlawanan yang sukar, kemenangan yang penting!"
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen